Saturday, September 5, 2009

Jururawat Glokal dan 1 Malaysia - Bahagian1

Dengan gagasan 1 Malaysia yang menjadi cogankata dan menjana semangat kemerdekaan saya ingin berkongsi dan menyumbang sedikit pengalaman sebagai jururawat Malaysia. Pengertian merdeka ini bukanlah hanya pada tarikh keramat tersebut tetapi kita menyambut dari perspektif yang lebih luas dan menterjemahkan 1Malaysia dan jiwa merdeka ini dari perspektif kejururawatan. Satu Malaysia melambangkan kerjaya jururawatan ini dipelopori oleh semua kaum di Malaysia dan jiwa merdeka harus disambut dengan kesyukuran kerana sistem sekarang dibandingkan dengan sistem dahulu bagi jururawat adalah jauh lebih baik dari aspek peluang kerjaya , insentif dan imbuhan. Malahan prospek jururawat Malaysia adalah lebih baik dan berdaya saing dari setengah negara membangun yang lain. Sedia maklum bahawa Jururawat adalah sebahagian daripada satu pasukan yang amat besar dalam Organisasi sistem Kesihatan , jururawat menjadi tulang belakang sistem Kesihatan, inilah kenyataan yang tidak boleh dinafikan dan tidak dikira dimana mana dalam dunia. Dibuktikan populasi Jururawat adalah yang terbesar hampir melampaui 50% dalam setiap organisasi kesihatan sesebuah Negara. (World Bank 2007). Dalam Malaysia sekarang hampir 80,000 jururawat sedang melampauan peratusan dalam Sistem Kesihatan Negara. (LJM KKM 2009) . Saya ingin meminjam istilah ’Glokal” yang diperkenalkan oleh YAB Datuk Najib Perdana Menteri kita semasa beliau TPM dahulu selalu berucap bahasa glokal ini yang diterjemahkan daripada perkataan Inggeris iaitu global dan local. Dimana saya melihat jururawat ’Glokal’ banyak peranan yang boleh disumbangkan selain didalam negara tercinta jururawat glokal dapat juga memberi sumbangan dan berkhidmat diluar negara. Ini kerana Jururawat Malaysia memang sudah mendapat pengiktirafan antarabangsa. Inilah satu martabat Profession kejururawatan Malaysia di era Global. Tidak semua jururawat negara membangun yang diterima dan diberikan pengiktirafan oleh negara maju. Mengikut bancian dan temuramah saya dengan jururawat yang bekerja di Saudi contohnya sekarang hampir 1000 orang jururawat Malaysia sedang bekerja disana dalam bidang kepakaran masing masing. Ganjaran gaji yang terima sudah tentu hampir 3 hingga 5 kali lebih daripada dalam negara. Merantau negara orang tidak semestinya mereka tidak patriotik pada negara sendiri tetapi kita memandang dari segi positifnya , beri peluang untuk memberikan pendedahan antarabangsa , dan menambah pendapatan, meningkatkan ekonommi dengan berpeluang mendapat gaji yang lumayan .
Kerana artikel ini sempena bulan kemerdekaan ,sudah pastinya hampir 52 tahun merdeka banyak yang boleh ditulis sebagai sejarah dan banyak lagi perubahan dalam latihan kejururawatan yang dapat dilihat sedang berlaku dan akan berlaku. Oleh kerana saya berorientasikan latihan fakus penulisan ini lebih kapada sudut latihan kejururawatan, contohnya dahulu sebelum tahun 2002 penumpuan hanya dalam sektor awam KKM sahaja , sekarang diperkenalkan sektor swasta..
Mengimbas kembali, penglibatan saya dalam memulakan kerjaya dalam bidang kejururawatan sejak 70 an, dengan perkataan lain saya telah berkhidmat dengan Kementerian Kesihatan Malaysia selama 34 tahun bermula sebagai jururawat berdaftar sehingga lah menjawat jawatan sebagai Pengetua Kolej disalah sebuah kolej dalam KKM , yang kini dikenali jawatan Pengetua sebagai Pengarah kolej. Saya sempat berkhidmat ditujuh negeri termasuk Sarawak sepanjang perkhidmatan dalam KKM. Berpeluang mengikuti kursus kursus dalam dan luar negara yang dibiayai oleh Kementerian. Pengalaman dan kemahiran yang diperolehi ini menjana kemerdekaan dan berterusan semangat juang untuk terus berdaya saing.
Mengimbau tentang Kemerdekaan ,sudah pasti saya dilahirkan sebelum merdeka dan saya tidak berapa ingat bagaimana sambutan kemerdekaan yang pertama 31Ogos 1957 berlaku dahulu kerana saya masih kecil lagi. Tetapi kita harus berterima kasih kapada pihak media yang banyak menayangkan perisitiwa peristiwa sejarah dan turutan yang berlaku sehingga saya dapat banyak kefahaman , mengimbas dan memberi keinsafan. Sesungguhnya kita harus bersyukur diatas kemerdekaan yang dikecapi ini. Media telah memainkan peranan yang efektif sekali dan ini semua tidak akan berlaku jika kita tidak mempunyai kepakaran ahli ahli sejarah yang memberikan sumbangan dan menyimpan khazanah Negara. Begitu juga saya terpegun melihat lagu lagu patriotik yang dinyanyikan oleh Allahyarham Sudirman bagitu bersemangat dan patriotik sekali dalam program Hari Merdeka 31 Ogos yang lepas di TV serta terdapat acara temubual arwah Sudirman dengan penonton sambil beliau menyanyikan berbagai versi lagu Mandarin, Tamil, Inggeris disamping lagu lagu Melayu cintakan Negara. Sudah pasti saya tidak lupa lirik lagu Jamilah tentang Jururawat yang dinyanyikan oleh seniman agung ini.Tahniah pada Media. .
Berbalik kapada fokus kerjaya jururawat dan cita cita saya. Sebenarnya semasa sekolah dahulu saya menaruh dua cita cita pertama untuk menjadi seorang doktor dan kedua menjadi seorang guru. Ini juga dalam pemerhatian saya agak sama senario nya Hingga sekarang sekiranya saya menemuramah kebanyakan pelatih ramai yang ingin jadi doktor dahulu sebagai pilihan pertama tetapi apabila mereka tidak berjaya mereka memilih kerjaya jururawat sebagai pilihan kedua.
Selepas SPM saya bekerja sementara sebagai kerani sambilan dan semasa itu saya memohon untuk mengikuti kursus Kejururawatan dan saya berjaya. Walaupun arwah ibu saya pada mulanya memang tidak galakkan saya ikuti kerana katanya kerjaya jururawat ini sangat kotor dan remeh , penat dan macam macam pandangan yang negatif dari orang ramai ketika itu. Namun saya tetap gigih dan saya bersyukur kerana telah mendapat galakan yang memberangsangkan dari bekas Wanita Pertama Negara Ybhg Tun Dr Siti Hasmah kerana ketika itu beliau adalah ketua Jabatan saya dan bertugas sebagai Pegawai Kesihatan Ibu dan Anak di Sekolah Latihan Luar Bandar Jitra semasa saya bertugas sebagai kerani sambilan pada tahun 1970. Saya masih ingat lagi bagaimana beliau melakarkan sepohon pokok yang terdapat berbagai ranting dan cabangnya dan beliau seterusnya menyakinkan saya lagi bahawa saya boleh menuju hingga kepuncak. Tidak dapat dilupakan pada masa yang sama ketika itu suami saya sekarang juga memberikan perangsang yang amat positif sekali.
Maka bermula latihan kejururawatan di Sekolah Latihan Jururawat Pulau Pinang ketika itu tempuh latihan 3 tahun 4 bulan dan kami seramai 45 orang dalam kumpulan tersebut mendapat gaji bulanan sebanyak RM220 sebulan dibawah skim gaji sufian dan terdapat kenaikan gaji setiap tahun 20 ringgit sahaja. Sudah tentu kita tak boleh nak samakan nilai ringgit dahulu dan nilai ringgit sekarang.. Tetapi apa yang dapat saya belajar dari pengalaman tersebut jimat cermat dan tabungan satu amalan yang berkat kerana kami boleh menjadi ahli koperasi Kesihatan. Dan saya dapat membantu arwah ibu saya untuk menunaikan ibadah haji kerana tambang Haji dahulu saya masih ingat lagi hanyalah Rm1800 melalui perjalanan kapal laut sahaja. Inilah baik dan menafaatnya jika kita dapat menganggotai dalam koperasi dimana falasafah koperasi usaha bersama dan keuntungan bersama. Ketika saya menjadi Pengetua di Kolej Kejururawatan Melaka Kooperasi Jururawat Kolej ditubuhkan dan saya amat berbangga Koperasi tersebut terus aktif hingga sekarang.
Semasa latihan, Pembelajaran dan pengajaran ketika itu masih banyak diajar dalam bahasa Inggeris hampir 70% sehinggalah akhir tahun 80an sisstem mula berubah dan diajar dalam Bahasa Malaysia. Semasa ketika itu staf yang terlatih dalam hospital kerajaan terdiri dari berbagai kaum dan kami mendapat latihan penyeliaan dari staf diwad terlibat Dalam kontek sekarang jika anda lihat jururawat berbagai kaum masih ada terdapat dalam sistem Kerajaan tetapi pada masa kini jika anda melawat hospital swasta ramai jururawat dari berbagai kaum dibandingkan hanya jururawat dari satu satu kaum yang mendominasikan ditempat kerja tersebut. Walau apapun setting yang saya katakan membuktikan bahawa satu Malaysia tetap ada. dan ianya harus berterusan. Bagaimana? Inilah peranan Pemimpin pemimpin dalam kejururawatan, pihak berwajib dan peranan jururawat itu sendiri. . Apa yang ingin saya kongsikan disini untuk menjadi seorang jururawat harus ada dalam minda sasaorang itu minat dan keikhlasan untuk bertugas sebagai jururawat kerana bila ia berhadapan dengan pesakit yang berbagai kerenah ia mesti banyak bersabar dan tahan menghadapi persekitaran yang tidak enak contohnya , yang mana bila bila saja muntahan, darah , najis pesakit, jururawat tersebut mesti bersihkan. Melalui pengalaman saya, senario begini kadang kadang ada pelajar jururawat sekarang apabila telah memasuki latihan kejururawatan mereka mahu keluar pula kerana mereka tidak tahan dengan behadapan ini semua lantas minta berhenti. Rumusan dari apa yang ingin saya sampaikan biarlah ada minat yang mendalam dan komited untuk menjadi seorang jururawat supaya latihan yang dilalalui 3 tahun ini akan berakhir dengan kejayaan. Dan berupaya menjadi jururawat yang kompetent, penyayang dan selamat pada pesakit .

No comments:

Post a Comment